BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2020 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob menghadiri Perhimpunan Bulanan dan menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan dan Kempen Pembudayaan Norma Baharu Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2020 di Wisma Pertahanan hari ini.

Penganjuran Kempen Kibar Jalur Gemilang ini bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan serta meningkatkan lagi semangat patriotisme di kalangan warga Kementerian Pertahanan manakala Kempen Pembudayaan Norma Baharu dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat serta seruan kerajaan dalam usaha menerapkan budaya norma baharu dan kawalan kendiri dalam kalangan warga Kementerian Pertahanan untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

YB Menteri dalam ucapannya turut berkongsi satu pengumuman bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2020 telah bersetuju terhadap cadangan Kementerian Pertahanan untuk membina perumahan SASaR di Kem Wardieburn dan Kem Genting Kelang, Kuala Lumpur.

Di bawah cadangan projek ini, sebanyak 7,374 unit rumah akan dibina iaitu sebanyak 6,400 unit rumah SASaR ATM Mampu Milik di Kem Genting Kelang yang akan dijual dengan harga RM150,000 sehingga RM250,000 dan sebanyak 974 unit Perumahan SASaR ATM Premium di Kem Wardieburn dengan harga RM350,000 hingga RM400,000. Harga unit-unit SASaR ATM Mampu Milik dan SASaR ATM Premium ini adalah antara 30 peratus sehingga 50 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.

Selesai ucapan, turut diadakan penyerahan Jalur Gemilang oleh YB Menteri kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, YBhg Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM yang mewakili warga awam Kementerian Pertahanan serta ATM.

YB Menteri turut menyampaikan hadiah kepada Pemenang Pertandingan Mencipta Pelekat Kenderaan Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat Kementerian Pertahanan. Sarjan U Sumardi bin Ismail dari Markas Tentera Udara telah dipilih sebagai pemenang dari 11 penyertaan yang diterima pihak urusetia pertandingan.

Seterusnya, YB Menteri telah memasang Jalur Gemilang pada kenderaan jabatan di hadapan Bangunan Wisma Pertahanan sebagai simbolik perasmian Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Kementerian Pertahanan.

Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Timbalan Menteri Pertahanan YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha, Pegawai-pegawai Kanan Awam dan ATM.