BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 3 Ogos 2020 - Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang mempertimbangkan tiga pilihan berkaitan dengan kapal tempur pesisir pantai (LCS), yang telah mengalami kelewatan sehingga kini. 

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia adalah tiga cadangan hala tuju yang akan dikemuka ke Kabinet sebagai langkah menyelamatkan semula kontrak.

Opsyen pertama, projek diteruskan dengan melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat melalui Deed of Assignment (Surat Ikatan Penyerahhakan) dengan BNSSB (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd) menggunakan baki siling kontrak bagi menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit LCS. Bagi opsyen kedua, projek diteruskan oleh BNSSB dengan baki siling kontrak menyiapkan sekurang-kurangnya dua unit LCS. Ketiga, kontrak dengan BNSSB ditamatkan oleh kementerian dan akan memulakan usaha menyelamatkan kontrak. 

Mengikut perancangan asal, katanya, dua daripada enam LCS sepatutnya sudah diterima sehingga kini. Namun sehingga 31 julai, belum ada kapal disiapkan. Status kemajuan kerja keseluruhan semasa bagi pembinaan LCS adalah 56.67 peratus berbanding perancangan asal 85.7 peratus, kelewatan 29.06 peratus atau 31.1 bulan. 

Beliau berkata, Memorandum Jemaah Menteri akan dibentang ke Kabinet selepas pengurusan tertinggi kementerian membuat semakan akhir terhadap dokumen berkenaan dalam masa terdekat.

Katanya juga, kementerian tiada rancangan memberi suntikan dana buat masa ini kepada syarikat pembekal sedia ada manakala segala pembayaran bagi sebarang kerja sudah dibayar selaras dengan klausa kontrak.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.