BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

BERA, 19 Julai 2020 - Tiga inisiatif baharu bagi meningkatkan kebajikan veteran Angkatan Tentera (ATM) akan dimulakan pada tahun ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, inisiatif itu ialah meningkatkan jumlah bantuan kebajikan bencana alam kepada RM10,000 berbanding RM5,000 sebelum ini dan memperkenalkan elaun bulanan kepada penjaga veteran ATM yang terlantar sakit dengan jumlah elaun yang akan diperincikan kemudian.

Satu lagi inisiatif ialah memperluaskan bantuan kemasukan ke universiti untuk anak veteran ATM kepada kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terpilih berbanding terhad kepada kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sahaja ketika ini.

Selain itu, menurutnya pihak kementerian dalam cadangan untuk keluarkan kad pesakit kepada semua veteran ATM supaya mereka bukan sahaja boleh dapatkan rawatan di kemudahan kesihatan kerajaan tetapi juga di hospital dan klinik swasta.

Beliau juga berkata, Kementerian Pertahanan akan meneruskan kempen besar-besaran bagi menggalakkan kira-kira 100,000 veteran ATM tidak berpencen yang masih tidak mendaftar dengan JHEV berbuat demikian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama veteran ATM di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.