BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KOTA KINABALU, 11 Julai 2020 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah melaksanakan Lawatan Kerja Ulung beliau ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK).

Ketibaan beliau bersama delegasi ke Markas Pemerintahan Kapal Selam telah disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, YBhg. Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman bin Hj Ayob, Panglima Armada Timur, YBhg. Laksamana Madya Dato' Pahlawan Syed Zahrul Putra bin Syed Abdullah dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Baharudin bin Wan Md serta turut menerima Kawalan Kehormatan Kuarter Wanita yang terdiri daripada 7 orang laskanita dari markas tersebut.

YB Menteri serta delegasi kemudiannya dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama Markas Pemerintahan Kapal Selam untuk mendengar taklimat mengenai perkembangan semasa TLDM di PTKK serta kesiapsiagaan operasi pertahanan TLDM di perairan negeri Sabah.

Usai taklimat, YB Menteri dan delegasi diiringi Pegawai-Pegawai Kanan TLDM bagi membuat lawatan ke kapal selam iaitu KD TUNKU ABDUL RAHMAN dan inventori terkini dalam TLDM iaitu Kapal LMS, KD KERIS. Lawatan ini bertujuan untuk melihat sendiri aset strategik milik TLDM secara lebih dekat serta berpeluang untuk beramah mesra bersama warga TLDM yang berkhidmat di kapal berkenaan.

Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, YBhg Datuk Muez bin Abd Aziz dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), YBhg Datuk Hj Ruji bin Hj Ubi.