BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KOTA KINABALU, 11 Julai 2020 - Kementerian Pertahanan masih mencari dan mengenal pasti kira-kira 30,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen dan masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob meminta anggota veteran berkenaan supaya mendaftar dalam laman sesawang JHEV bagi membolehkan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dapat disalurkan.

Menurut beliau dalam bantuan PRIHATIN yang diumumkan kerajaan pada April lalu, bantuan sebanyak RM500 secara sekali bayar akan diagihkan kepada veteran berpencen dan yang tidak berpencen sehingga September ini.

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 80,000 veteran ATM yang tidak berpencen telah berdaftar dengan JHEV ATM.

Tambah beliau, antara faktor yang menyebabkan veteran itu tidak berdaftar disebabkan duduk jauh di kawasan pedalaman selain tidak mengetahui maklumat berkenaan.

"Oleh sebab itu kita minta persatuan veteran supaya mengesan mereka ini kerana di setiap daerah dan kawasan ada persatuan veteran," katanya.