BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 12 Julai 2020 - Panglima Angkatan Tentera (ATM) Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM berkata penggiliran penugasan anggota pasukan ATM dalam kawalan operasi persempadanan di seluruh negara, sentiasa dilaksanakan.

Beliau berkata penggiliran ini penting untuk mengelakkan anggota ATM daripada terjebak dengan sebarang kegiatan jenayah, penyeludupan atau bersekongkol dengan tekong.
“Atur gerak anggota di kawasan sempadan penting bagi memastikan operasi kawalan persempadanan yang kini dilaksanakan secara bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain menerusi Op Benteng mencapai objektif disasarkan'. 

Menurut beliau, sebelum ini, operasi kawalan sempadan dilaksanakan secara service centric oleh setiap agensi, namun aspek pemantauan setiap operasi kini dipertingkat dan diperkemaskan terutama melibatkan atur gerak anggota yang terlibat secara langsung di kawasan-kawasan yang telah dipertanggungjawabkan.

Katanya lagi, aspek pemantauan dalam setiap perkhidmatan ATM terutama melibatkan atur gerak anggota sentiasa ditekankan lebih-lebih lagi melibatkan penugasan kawalan operasi persempadanan.

Op Benteng diaktifkan sejak Mei 2020 di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.