BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KOTA KINABALU, 7 Julai 2020 - Angkatan Kapal Selam TLDM menerusi Pusat Latihan Kapal Selam telah berjaya melahirkan seramai 276 submariner sejak penubuhannya pada tahun 2010.

Majlis pemakaian lencana kepada 20 penerima baharu terdiri daripada tujuh pegawai dan 13 anggota TLDM telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany di Auditorium Markas Pemerintahan Kapal Selam, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dengan mengamalkan norma baharu yang telah digariskan.

Para penerima merupakan warga TLDM terpilih yang telah berjaya menamatkan Kursus Kelayakan Kapal Selam Tahap 1. Kursus yang memakan masa selama 21 bulan itu telah menetapkan bahawa setiap peserta perlu melepasi fasa latihan di Pusat Latihan Kapal Selam dan Latihan Sambil Kerja di kapal selam TLDM bagi memastikan mereka benar-benar layak mengoperasikan aset strategik negara dengan kompeten.

Sebagai rekod, Pusat Latihan Kapal Selam mempunyai keupayaan untuk melatih 167 warga berkepakaran kapal selam di peringkat lanjutan hingga tertinggi. Ini membuktikan bahawa warga TLDM dan anak watan tempatan berkemampuan untuk menguasai bidang peperangan bawah permukaan yang melibatkan peralatan moden serta berteknologi tinggi malah turut menjimatkan kos dengan mengurangkan pengaliran keluar wang kerajaan.