BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 23 Jun 2020 - Kerajaan akan menyalurkan bantuan berkaitan kepada waris empat anggota Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM) yang terbabit kemalangan dekat Ranau, Sabah, tengah hari tadi.

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Ismail Sabri Yaakob, berkata penyaluran bantuan diharap meringankan bebanan waris selepas ketua keluarga mereka terbabit kemalangan ketika menjalankan tugas.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga tiga anggota TLDM dari KD Sri Sandakan, Sabah yang terkorban dalam kemalangan tengah hari tadi.

"Kemalangan meragut nyawa tiga anggota tentera ini adalah kehilangan besar kepada TLDM dan seluruh pasukan tentera.

"Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.

"Pada masa sama, saya berdoa agar seorang lagi anggota tentera yang cedera dalam kemalangan itu dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Ranau segera sembuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebuah trak tentera dinaiki empat anggota TLDM terbabas di Jalan Ranau-Tamparuli, berhampiran Kampung Bundu Tuhan, Tamparuli, Sabah.
Dalam kejadian jam 12.55 tengah hari itu, mangsa yang meninggal dunia adalah LK PAP Maslim Abdul Rahim; LK I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan dan LK I TMK Muhammad Arif Idris, manakala LK II TLR Vincent M Orel dilaporkan cedera parah.