BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

BUTTERWORTH, 20 Jun 2020 - Pangkalan Udara Butterworth (PU Butterworth) menjadi pangkalan udara pertama dilawati oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dalam sesi lawatan kerja beliau ke perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Lawatan Kerja ini adalah manifestasi amanat beliau yang memfokuskan empat hala tuju Kementerian, antaranya :
1. Memperkasakan ATM dari segi aset dan persenjataan.
2. Mempertingkatkan sistem teknologi yang digunakan oleh ATM agar selari dengan perkembangan teknologi terkini.
3. Memperkasakan industri pertahanan agar Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang kuat dalam industri pertahanan di rantau ini.
4. Memperkasakan aspek kesejahteraan anggota ATM dan kebajikan veteran ATM.

Ketibaan YB Menteri diiringi Komander Pangkalan, Brig Jen Shaiful Azuar bin Ariffin TUDM telah menerima dan memeriksa Kawalan Kuarter dari PU Butterworth. Beliau tiba di No. 18 Skuadron disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato' Roshaimi bin Zakaria TUDM; beberapa pegawai kanan TUDM serta kumpulan eksekutif pangkalan.

Seterusnya YB Menteri serta delegasi telah diberikan taklimat berhubung PU Butterworth dan pengoperasian pangkalan, perancangan pembangunan infrastruktur termasuk kediaman RKAT kepada warga PU Butterworth, kekangan serta cabaran yang dihadapi oleh pihak pangkalan secara holistik. Beliau juga telah dibawa melihat pameran statik pesawat pejuang F/A-18D (Hornet), Hawk dan helikopter EC 725 AP.

YB Menteri juga telah dibawa melihat kesiagaan pengoperasian Pusat Simulator Pejuang (PSP) iaitu Full Mission Simulator (FMS) HAWK dan Tactical Operational Flight Trainer (TOFT) Hornet serta berpeluang membuat simulasi menerbangkan pesawat pejuang berkenaan.

Lawatan kerja ini turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, YB Dato' Sri Reezal Merican bin Naina Merican; dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez bin Abd Aziz.