BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

ALOR SETAR, 18 Jun 2020 – Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM hari ini telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Latihan Ketenteraan Tahun Akhir (LKTA) Siri 7/19 dan Pegawai Kadet Kursus Asas Pegawai (KAP) Siri 29/19 yang diadakan di Dewan Aeroangkasa, Kolej Tentera Udara (KTU), Kepala Batas, Alor Setar, Kedah.

Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet LKTA Siri 7/19 dan Pegawai Kadet KAP Siri 29/19 yang sepatutnya dilaksanakan lebih awal ini terpaksa ditunda berikutan dengan pandemik COVID-19

Pegawai Kadet LKTA Siri 7/19 terdiri daripada pelatih dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) seramai 53 orang termasuk 10 pegawai kadet wanita. Mereka telah memulakan latihan selama 6 bulan bermula pada 25 Jul 19 dan tamat pada 31 Jan 20.

Manakala Latihan Pegawai Kadet KAP Siri 29/19 telah bermula pada 16 Jun 19 selama 9 bulan dan perancangan awal ianya tamat pada 21 Mac 20. Kursus ini terdiri daripada 26 pegawai kadet yang terpilih dari pengambilan skim graduan dari IPTA dan IPTS dalam dan luar negara termasuk enam (6) pegawai kadet wanita.

Majlis ini telah dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti pemeriksaan suhu badan diambil daripada semua pegawai kanan yang hadir di Pergerakan Udara dan semua pegawai kadet yang terlibat di pintu masuk lokasi acara oleh pihak Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) KTU, penyediaan kaunter ‘hand sanitizer’ dan pelitup hidung dan mulut (face mask), penjarakan sosial kedudukan pegawai kadet dan pegawai kanan di dalam dewan dalam jarak 1 meter selain meminimumkan jumlah kehadiran tanpa kehadiran ibu, bapa dan keluarga pegawai kadet seperti kebiasaan terdahulu.

Turut hadir, adalah Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato' Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Lt Jen Dato' Roshaimi bin Zakaria TUDM serta beberapa pegawai kanan TUDM dan para jurulatih