BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 12 Jun 2020 - Seramai 81 warga Malaysia yang terkandas di selatan Filipina akibat sekatan susulan penularan COVID-19, dibawa pulang ke tanah air melalui Misi Repatriasi Rakyat Malaysia, semalam.

Kesemua mereka dibawa pulang dengan menggunakan pesawat pengangkut Hercules C130H TUDM dari No 2 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. Penerbangan itu adalah usaha sama Kementerian Luar, Duta Besar Malaysia ke Filipina dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui TUDM.

Usaha membawa pulang 81 rakyat Malaysia yang semuanya adalah penduduk Sabah itu dilaksanakan atas dasar mengambil kira faktor keselamatan warga Malaysia dan situasi semasa di negara berkenaan. Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Labuan pada jam 10.11 pagi, semalam dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Zamboanga pada jam 12.02 tengah hari.

Pengurusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Zamboanga mengambil masa lebih tiga jam sebelum pesawat berlepas pada jam 3.25 petang dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal 2 pada jam 4.25 petang. 

Pesawat dikendalikan juruterbang, Mejar Muhammad Izwanshah Azman, dengan dibantu anak kapal No 20 Skuadron terdiri daripada Mejar Mohd Azrin Zaihari, Kapten Muhammad Sujangi dan Kapten Nor Sazmil Nor Azman serta dua Kuarter Master Udara, iaitu Flait Sarjan Wahiyudin Wahid dan Sarjan Udara Muhamad Anuar Mohd Yusoff.

Misi Repatriasi ini diketuai Kolonel Dr Saravanan Annamalai selaku Komander Misi, dengan disertai tim perubatan dari Institut Perubatan Penerbangan (IPP) Pangkalan Udara Subang yang diketuai Mejar Dr Adif Faidz Daud dan seorang staf pembantu perubatan.

Turut sama dalam misi ini ialah doktor dan staf perubatan dari Hospital Queen Elizabeth (HQZ) Kota Kinabalu. 

Semua petugas misi itu turut dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) bagi memastikan mereka bebas daripada terdedah sebarang jangkitan virus.
Selepas misi itu selesai, pesawat C130H terbabit dilakukan disinfeksi sepenuhnya, manakala semua tim petugas melalui proses perubatan dan kuarantin bagi memastikan mereka bebas COVID-19.