BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 11 Jun 2020 - Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat (PTD) telah diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan di antara Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Ahmad Hasbullah bin Haji Mohd Nawawi dan Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain dengan disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM.

Terdahulu, dilaksanakan majlis pemakaian pangkat daripada Leftenan Jeneral ke Jeneral kepada Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain yang telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan dan isteri Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain, Datin Zainuriah binti Haji Mustapha serta disaksikan oleh PAT dan Panglima-panglima Perkhidmatan. Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain dinaikkan pangkat berkuatkuasa pada 11 Jun 2020 dan menjawat jawatan sebagai PTD Ke-28.

Jeneral Datuk Zamrose Bin Mohd Zain dilahirkan pada 22 September 1962, di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau memulakan karier dengan menyertai latihan sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1980, dan seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 24 Januari 1981. Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) merupakan unit pertama perkhidmatan beliau di alam ketenteraan. Di sepanjang 39 tahun usia perkhidmatannya, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) dan jawatan terakhir beliau sebelum ini adalah Panglima Medan Timur Tentera Darat.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham Bin Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Muez Bin Abd Aziz, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Bin Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Ackbal Bin Hj Abdul Samad TUDM, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Pegawai-pegawai Kanan TDM.