BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 10 Jun 2020 - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertingkat rondaan di tempat tumpuan awam bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi. 

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM berkata selepas sekatan jalan raya rentas negeri ditutup, fokus penugasan anggota tentera kini adalah rondaan penguatkuasaan SOP di kawasan seperti pasar awam dan pasar malam. 

Beliau berkata rondaan itu dipertingkatkan lagi bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP seterusnya rantaian penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan.  

"ATM kini membuat rondaan penguatkuasaan SOP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan membantu penugasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya

Dalam pada itu, beliau berkata Op Benteng yang dilaksanakan bersama PDRM untuk memburu tekong serta anggota sindiket berhubung pendatang asing tanpa izin akan dipertingkatkan.

"Op Benteng akan dipertingkatkan kerana beberapa sektor ekonomi telah dibuka semula dan ianya sudah tentu menjadi tarikan kepada pendatang tanpa izin untuk masuk ke negara ini," katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan tentera luar bagi memastikan cubaan menceroboh ke negara ini dapat dipatahkan.