BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 3 Jun 2020 - Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini menerima sumbangan dari Kementerian Pertahanan Nasional Republik Rakyat China berupa barangan dan peralatan perubatan bagi kegunaan petugas barisan hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sumbangan telah disampaikan oleh TYT Bai Tian, Duta Besar China ke Malaysia kepada YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan bertempat di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan.

Sumbangan terdiri daripada 13 jenis barangan dan peralatan perubatan seperti berikut:

* Medical Disposable Masks / Topeng Hidung dan Mulut - 50000 Unit
* Medical Surgical Masks / Topeng Muka Pembedahan - 6000 Unit
* Medical Protective Masks (KN95) / Topeng Hidung dan Mulut Jenis KN95 - 6000 Unit
* Medical Goggles / Kaca Mata Perubatan - 4200 Unit
* Disposable Protective Clothing / Pakaian Pelindung Diri - 3000 Unit
* Isolation Gown / Pakaian Perlindungan - 3000 Unit
* Medical Face Shield / Pelindung Muka - 3000 Unit
* Medical Boots Set / Set Kasut Perubatan - 6000 Unit
* Disposable Nitrile Gloves / Sarung Tangan Nitrile - 50000 Unit
* Infusion Pump - 30 Unit
* Knapsack Disinfectant Sprayer - 2 Unit
* Frontal Temperature Gun CK-T1501 - 50 Unit
* Thermal Imaging Smart Helmet / Helmet Pengimbas Suhu Pintar - 2 Unit

Kesemua barangan ini telah diterbangkan dari negara China ke Malaysia dengan menggunakan pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China pada 12 Mei 2020 lalu.

Hadir sama pada majlis penyerahan ini ialah YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pertahanan, YBhg. Datuk Muez bin Abd Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Ketua Staf Markas ATM, YBhg. Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Redzuan bin Hj Baharuddin mewakili Panglima Angkatan Tentera.

Duta Besar China turut mengambil peluang mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Dato' Sri Ismail Sabri atas pelantikan beliau sebagai Menteri Kanan Pertahanan.

Dalam kunjungan hormat tersebut, TYT Bai Tian dan YB Dato' Sri Ismail Sabri telah menyentuh mengenai hubungan kerjasama pertahanan dua hala Malaysia dan Republik Rakyat China di samping isu-isu mengenai Laut China Selatan dan penghantaran pulang 500 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga China.

Kementerian Pertahanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas bantuan barangan dan peralatan perubatan serta sokongan berterusan kerajaan China kepada Malaysia dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 ini.