BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

Kuala Lumpur, 1 Jun 2020 – Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato' Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menyampaikan perutusan secara persidangan video di saluran media sosial rasmi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena Hari Ulang tahun ke-62 TUDM pagi tadi.

Hari TUDM ke-62 pada tahun ini tidak disambut seperti kebiasaannya akibat daripada penularan COVID-19 yang kini menjadi ancaman bukan sahaja kepada Negara malah kepada seluruh dunia.

Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah drastik bagi membendung penularan wabak virus ini yang turut melibatkan atur gerak ATM sebagai kumpulan barisan hadapan bagi melandaikan penularan COVID-19. Menurut amanat Panglima Tentera Udara, TUDM turut sama membantu pihak PDRM dalam tugas sekatan jalanraya dan rondaan dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki hari ke-76.

Menurut beliau, dari segi atur gerak aset udara, TUDM telah melaksanakan lebih kurang 42 misi penghantaraan udara yang membawa sebanyak lebih kurang 270 ton keperluan barangan perubatan dan kesihatan bagi kegunaan kumpulan barisan hadapan di Sabah dan Sarawak. Selain dari itu, pesawat Helikopter EC-725 telah melakukan sebanyak lebih kurang 20 penerbangan dengan menghantar bantuan makanan sebanyak lebih kurang 30 ton ke kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Bagi memelihara kedaulatan negara, TUDM sentiasa komited dalam memperkukuhkan kawalan persempadanan perairan Malaysia melalui pengawasan udara. aset – aset TUDM telah diaturgerak untuk membuat pengawasan dan rondaan udara di Perairan Selat Melaka, Laut China Selatan serta Laut Sulu.

Dalam perutusan beliau, Panglima Tentera Udara turut mengucapkan tahniah kepada warga TUDM kerana telah berjaya mengesan beberapa buah bot warga asing di perairan Selat Melaka dengan ratusan imigran baru-baru ini.

Di akhir perutusan tersebut, Panglima Tentera Udara memberi penekanan kepada seluruh warga TUDM agar mengadaptasi new normal atau kebiasaan baharu, perkara berkaitan keselamatan dan kesihatan anggota perlu diberi perhatian. Nasihat dan saranan kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19 perlu diperingatkan kepada semua lapisan anggota pada sebilang masa demi kesihatan dan keselamatan diri serta orang lain.

“Saya menyeru setiap anggota untuk meningkatkan kawalan kendiri terhadap kebiasaan baharu yang akan menjadi amalan seharian kehidupan. We need to embrace the new normal in our daily lives – which is no longer the same anymore. Ianya sebenarnya bukan sesuatu yang sukar untuk diamalkan, sebaliknya boleh diadaptasi demi kepentingan bersama. Walaupun terdapat kekangan dan cabaran dengan kebiasaan baharu ini, saya mahukan semua warga TUDM tetap melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh komited dan dedikasi”.