BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

PUTRAJAYA, 11 Mei 2020 – Kerajaan telah menubuhkan satu pasukan petugas khas (Special Task Force) yang diketuai oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini melalui lorong tikus.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan ini turut dianggotai oleh semua agensi beruniform.

Beliau menambah, kesemua agensi yang terlibat dapat melakukan kerjasama secara bersepadu dalam menjaga sempadan negara yang merupakan sebahagian usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

“Semua lorong tikus telah kita kenal pasti. Kita (kerajaan) sudah tahu jalan-jalan mana mereka datang, sama ada di Pantai Barat Semenanjung, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, kerajaan kini telah menyatukan pasukan khas dan aset yang sedia ada untuk mengawal sempadan negara dengan lebih tersusun dalam menangani masalah PATI.

Beliau menegaskan kerajaan turut melakukan tangkapan terhadap individu yang menjadi dalang penyeludupan PATI.