BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

Kuala Lumpur, 29 April 2020 - Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah menyempurnakan penyerahan Sumbangan Ehsan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sumbangan Ihya Ramadan kepada ketiga-tiga Markas Perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara) serta melancarkan Tabung Infak Ramadan di Wisma Pertahanan, disini, hari ini.


Sumbangan Ehsan dari Tabung Zakat ATM berupa barangan keperluan harian yang diberikan kepada warga tentera beragama Islam dan bukan Islam serta kakitangan awam yang dikategorikan sebagai asnaf serta anggota atau keluarga yang mempunyai penyakit kronik. Jumlah penerima adalah seramai 1,330 dari seluruh Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM79,800.

Sumbangan Ihya Ramadan pula merupakan sumbangan kepada 60 masjid dan 227 surau ATM di seluruh negara dengan jumlah peruntukan sebanyak RM173,500. Replika cek sumbangan diserahkan kepada ketiga-tiga Panglima Perkhidmatan (Darat, Laut dan Udara), Ketua Staf Markas ATM dan Panglima Angkatan Bersama.

Selain itu, Affin Islamic Bank turut menyumbang RM300,000 kepada Tabung Zakat ATM bagi tahun 2020. Replika cek sumbangan telah diserahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Affin Islamic Bank Berhad, En. Ferdaus Toh Abdullah.

PERNAMA Niaga Bhd. pula menyumbangkan 1,000 sarung tangan, 1,000 topeng muka dan 200 botol hand sanitizer kepada pihak ATM untuk kegunaan petugas barisan hadapan ATM yang terlibat dalam penugasan penguatkuasaan PKP. Sumbangan diserahkan oleh Pengerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Jeneral Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Haji Abdul Aziz bin Hj Zainal (B).

ATM turut menerima sumbangan 100,000 topeng muka daripada Yayasan Ihsan Rakyat yang telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ihsan Rakyat, Datuk Hjh. Rozzana bt. Dato' Hj. Rahmat manakala Yayasan Restu menyumbangkan 20,000 naskah Al-Quran untuk kegunaan warga ATM beragama Islam yang diserahkan oleh Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Ketua Setiausaha Pertahanan, Datuk Muez bin Abd Aziz serta Panglima-Panglima Perkhidmatan.