BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

SUBANG, 14 April 2020 – Pesawat pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) awal pagi ini melaksanakan satu lagi penerbangan menghantar keperluan barang perubatan dan kesihatan ke negeri Sarawak dan Sabah dalam memastikan fasiliti kesihatan di kedua-dua negeri tersebut sentiasa mencukupi dalam usaha memerangi wabak COVID-19 di Malaysia.

Barang-barang yang dihantar ini terdiri daripada spesimen klinikal tambahan dan keperluan peralatan Personal Protective Equipment (PPE) kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kegunaan petugas perubatan. Selain itu, TUDM turut membawa bekalan topeng muka (face mask) sebanyak 19,000 keping yang disalurkan oleh Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi kegunaan kumpulan barisan hadapan mendepani pandemik COVID-19 di negeri Sarawak dan Sabah.

Pesawat A400M dari No 22 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang telah berlepas pada jam 7.00 pagi tadi. Pesawat ini selamat tiba di Pangkalan Udara Kuching pada jam 8.45 pagi bagi menurunkan barang-barang keperluan bagi negeri Sarawak. Selesai sahaja di Pangkalan Udara Kuching, pesawat kemudiannya meneruskan penerbangan dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada jam 1.25 petang bagi penghantaran barang-barang untuk negeri Sabah.

Misi penghantaran udara yang dilaksanakan oleh TUDM berjalan dengan lancar dan ini membuktikan TUDM sentiasa dalam keadaan siap siaga sebilang masa dari segi aset-aset serta anak kapal. TUDM akan terus memberikan komitmen kepada Kerajaan dan juga agensi-agensi terlibat dalam usaha memerangi COVID-19 yang mengancam negara dan dunia.