BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 10 April 2020 - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM menegaskan bahawa ATM akan sentiasa bersiap sedia dan kekal komited dalam memperketatkan kawalan di sepanjang persempadanan negara.

ATM sentiasa mengambil pelbagai perkiraan keadaan dalam merangka pelan strategik pertahanan negara merangkumi apa jua situasi terutama semasa negara kini menghadapi penularan wabak COVID-19. Pelbagai kemungkinan diperhalusi terutama jangkaan tindakan warga asing yang akan memasuki Malaysia secara tidak sah dengan menggunakan laluan-laluan tikus.

Ini seterusnya boleh memberi impak kepada peningkatan penularan wabak COVID-19. Semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), operasi dalam negara tetap diteruskan seperti biasa. Dalam kawalan persempadanan negara, ATM mempunyai kolaborasi padu bersama pihak PDRM terutama melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta agensi-agensi keselamatan lain yang bukan sahaja melibatkan kawalan persempadanan darat di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur malah turut melibatkan kawalan di persempadanan perairan negara.

Justeru, dengan pengarahan terbaru berdasarkan Perutusan Khas YAB Perdana Menteri, ATM akan memperkukuhkan lagi perintah dan kawalan di setiap pemerintahan Darat, Laut dan Udara supaya berada pada tahap tinggi. Setiap pemerintah di setiap peringkat pemerintahan dikehendaki menentukan arahan-arahan semasa terutama aturgerak operasi semasa dikuatkuasakan.

Adalah ditegaskan, bahawa dengan pengukuhan kawalan operasi di persempadanan Negara, ia tidak menjejaskan penugasan anggota sedia ada dalam OPERASI PENAWAR untuk menguatkuasa PKP dan PKPD.

#MinDefMalaysia