BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

Miri, 9 April 2020 - Aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk helikopter diatur gerak ke kawasan pedalaman di Sarawak untuk menghantar bekalan makanan dan keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua COVID-19.

Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain berkata, terdapat empat kawasan terbabit dalam penugasan berkenaan iaitu Miri, Bintulu, Sibu dan Sarikei.

“Tugas penghantaran bekalan makanan ini dilakukan ATM dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak dan Kerajaan Negeri Sarawak bermula pda 5 April lalu sebaik dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

“Bagi kawasan Bintulu dan Miri, kami menjangkakan penghantaran bekalan akan selesai hari ini, manakala di kawasan Sibu san Sarikei pula akan selesai esok.

Zamrose berkata, pihaknya menggunakan pesawat EC-725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diterbangkan ke kawasan sukar dilalui dengan jalan darat seperti Miri, Bario, Long Loyang dan Long Akah.

“Selain itu, kami juga menggunakan dua helikopter daripada Syarikat Hornbill Skyways Sdn Bhd bagi penghantaran bekalan makanan di Lubok Antu, Sri Aman.

“Sebanyak 18 penerbangan diperlukan bagi menghantar bekalan makanan ke 13 lokasi iaitu di Bario, Long Sait, Patik, Ba Lai, Long Lellang, Long Loyang, Long Sobeng, Long Aton, Long Akah, Long Apu, Long Anap, Apau Nyaring dan Long Palai,” katanya.

Katanya, bantuan bekalan makanan yang dihantar merangkumi barang asas seperti beras, minyak dan gula kepada penduduk di kawasan berkenaan.