BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

SUBANG, 3 April 2020 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada negara apabila pesawat pengangkut A400M milik TUDM telah melaksanakan penerbangan hari ini ke Sarawak dan Sabah.

Penerbangan hari ini membawa 100 unit kotak perlindungan (aerosol box), spesimen klinikal tambahan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta keperluan peralatan Personal Protective Equipment (PPE) untuk kegunaan kumpulan barisan hadapan mendepani pandemik COVID-19.

Kotak perlindungan sebanyak 100 unit yang dihasilkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu sukarelawan bekas Putera Maktab Tentera Diraja ini melalui bantuan pelbagai pihak termasuk Persatuan Bekas Putera (Old Putera Association (OPA)) terdapat dalam 2 jenis iaitu “Intubation Type” (digunakan semasa prosedur ‘endotracheal intubation’) dan “Sampling Type” (digunakan semasa prosedur mengambil ‘swab’).

Peralatan ini bertujuan menghalang transmisi “droplets” dari pesakit-pesakit yang berkemungkinan mempunyai virus COVID-19 berjangkit kepada petugas-petugas perubatan. OPA setakat ini telah pun menyalurkan 108 unit kepada fasiliti-fasiliti kesihatan di negeri-negeri Semenanjung Malaysia. Bagi 100 unit ini akan disalurkan kepada fasiliti-fasiliti kesihatan di negeri Sarawak. Kotak perlindungan aerosol ini akan digunakan oleh petugas-petugas kesihatan di barisan hadapan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti terutamanya semasa mereka bertugas membuat saringan, pemeriksaan dan rawatan kepada pelbagai lapisan pesakit yang datang ke fasiliti kesihatan sama ada di Klinik Kesihatan (KK), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan hospital.

Bagi spesimen klinikal tambahan Kementerian Kesihatan Malaysia, ianya terdiri daripada bekalan peralatan makmal, farmasi, “Personal Protective Equipment” (PPE) dan peralatan perubatan kritikal untuk disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi kegunaan fasiliti-fasiliti pusat kesihatan di negeri tersebut. Peralatan-peralatan perubatan tersebut adalah juga dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.