BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 25 Mac 2020 – Kementerian Pertahanan hari ini mengumumkan tiga bayaran insentif kepada veteran-veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dipercepatkan bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak pandemik COVID-19.

Menteri Pertahanan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran insentif itu ialah dana Kutipan Jalanan Kempen Tabung Pahlawan 2019 termasuk Matching Grant, elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Skim Bantuan Kebajikan iaitu Bantuan Sara Hidup (BSH).

Menurutnya, pada akhir bulan ini, sebanyak 74 Persatuan Veteran ATM akan menerima semula dana Kutipan Jalanan termasuk Matching Grant yang telah dijanjikan.

“Pembayaran semula dana Kutipan Jalanan dan Matching Grant serta insentif bagi Persatuan-Persatuan Veteran ATM yang layak ini melibatkan pengagihan dana Kempen Tabung Pahlawan 2019 berjumlah RM 5,320,486.46,

Beliau berkata, pemberian elaun kenangan PJM fasa kedua yang telah dirancangkan pada bulan April 2020 ini juga telah dipercepatkan pada minggu akhir bulan Mac 2020 kepada 40,000 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM 20 juta.

“Kementerian Pertahanan telah bersetuju untuk mempercepatkan pembayaran Fasa Kedua Elaun Kenangan PJM sebanyak RM 500.00 secara one-off (sekali bayaran),” katanya semasa sidang media khas di Wisma Pertahanan hari ini.

Selain itu, Kementerian Pertahanan juga telah bersetuju untuk mempercepatkan pembayaran Skim Bantuan Kebajikan iaitu BSH sebanyak RM300 mulai 1 April 2020 secara bulanan kepada 4,800 penerima  yang layak dan telah memenuhi syarat.

Tambahnya, bantuan yang disalurkan ini merupakan salah satu program bantuan kewangan di bawah JHEV ATM bagi menjaga kebajikan veteran dan tanggungan mereka yang memerlukan supaya dapat memperbaiki dan menjalani kehidupan yang lebih selesa.

Hadir sama ketika sidang media khas berkenaan adalah, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez bin Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan Ketua Pengarah JHEV, Mej. Jen. Dato' Dzulkarnain Bin Ahmad.