BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2020 – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah mengadakan lawatan ke Markas Tentera Udara, Wisma Pertahanan.

Ini merupakan lawatan ulung YB Menteri ke Markas Tentera Udara beserta timbalannya YB Datuk Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, setelah mengangkat sumpah jawatan pada 10 Mac 2020 yang lalu.

Ketibaan beliau di Pejabat Panglima Tentera Udara dengan diiringi oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, YBhg Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah disambut oleh Panglima Tentera Udara, YBhg Jen Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM serta kepimpinan tertinggi TUDM yang lain.

Mengambil serius langkah pencegahan COVID-19, terlebih dahulu YB Menteri serta delegasi rombongan tidak terkecuali turut menjalani saringan kesihatan ‘temperature screening’ di Markas Tentera Udara yang telah diperiksa oleh Pegawai Perubatan dari Institut Perubatan Penerbangan (IPP) iaitu Lt Kol (Dr) Siti Mariah bt Hussain serta mengamalkan penggunaan ‘’hand sanitizer’’.

Seterusnya, YB Menteri dan rombongan telah diberikan taklimat mengenai peranan dan hala tuju strategik TUDM yang disampaikan oleh Asisten Ketua Staf Operasi dan Strategi, Mej Jen Mohd Shahada bin Ismail TUDM. Rombongan juga diperjelaskan berkenaan tugas-tugas operasi TUDM serta operasi bersama yang melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), penggunaan sumber manusia sebagai aset terpenting organisasi serta cabaran-cabaran semasa yang dihadapi oleh TUDM.

Delegasi rombongan juga turut dimaklumkan berhubung status semasa pengoperasian melibatkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 bertepatan arahan kerajaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan serta langkah-langkah pencegahan wabak COVID-19 di peringkat TUDM khasnya serta ATM amnya.

Turut hadir mengiringi adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg Datuk Muez bin Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM.