BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

Hanoi, 19 Februari 2010- Menteri Pertahanan Malaysia, YB Tuan Haji Mohamad bin Sabu telah menghadiri mesyuarat Retreat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) yang diadakan di Melia Hanoi Hotel, Vietnam.

Lapan Menteri Pertahanan negara anggota ASEAN (ASEAN Member States, AMS), telah menghadiri Mesyuarat ADMM Retreat. Semasa sesi bertukar pandangan, YB Mohamad telah menyampaikan ucapan tahniah dan menyatakan sokongan Malaysia terhadap Vietnam selaku Pengerusi ASEAN 2020.

Sebagai tanda sokongan kepada tema ASEAN Vietnam 2020 iaitu 'Cohesive and Responsive’, YB Mohamad telah menyampaikan pandangan Malaysia bahawa AMS perlu memberi fokus kepada usaha memperkukuh perpaduan serantau dan perlu saling melengkapi satu sama lain sebagai langkah ke arah pembangunan komuniti ASEAN. Beliau mengiktiraf inisiatif dan pencapaian ADMM serta menyatakan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Vietnam pada tahun ini, inisiatif sedia ada akan diteruskan manakala peluang kerjasama baharu akan diteroka bagi meningkatkan prestasi dan sumbangan ADMM dalam memastikan keselamatan, keamanan dan kestabilan serantau .

Beliau juga menyuarakan kepentingan supaya ASEAN meningkatkan keupayaan untuk mengadaptasi Revolusi Perindustrian keempat (Fourth Industrial Revolution). Menyedari cabaran ini, YB Mohamad memaklumkan hasrat Malaysia untuk membina kesedaran dan menyemai budaya keselamatan siber serta norma positif melalui kumpulan kerja pakar ADMM-Plus mengenai keselamatan siber yang dikenali sebagai ADMM-Plus Experts’ Working Group on Cyber Security (ADMM-Plus EWG on CS) yang dipengerusikan secara bersama antara Malaysia dengan Korea Selatan dari tahun 2020 hingga 2023. Ini bertujuan untuk mengurangkan jurang pengetahuan, kesedaran dan keupayaan dalam domain siber dalam kalangan negara ASEAN dan negara-negara Plus.

Selaras dengan matlamat Malaysia untuk mengoperasikan ASEAN Militaries Ready Group on Humanitarian Assistance Disaster Relief (AMRG on HADR) pada tahun ini, YB Mohamad turut mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada setiap negara ahli ASEAN atas sokongan yang diberikan terhadap Malaysia dalam membangunkan inisiatif ini. Pemakaian Standard Operating Procedure of the AMRG on HADR (SOP AMR on HADR) akan melengkapi garis panduan kerjasama ASEAN dalam bidang bantuan kemanusiaan selain mencerminkan kesepaduan serantau dalam tindakan menangani bencana di rantau ini.

Selanjutnya, YB Mohamad turut menekankan keperluan untuk ADMM sentiasa memastikan prinsip ASEAN Centrality sebagai keutamaan dalam memupuk hubungan dengan rakan-rakan negara ASEAN serta dalam menjaga hubungan dengan negara Plus. Di samping itu, YB Mohamad turut mengambil bahagian dalam Mesyuarat Tidak Formal Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN – Australia (ASEAN-Australia Defence Ministers’ Informal Meeting), dan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat Australia, Senator Linda Reynolds.

Di akhir mesyuarat ADMM Retreat, Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN sebulat suara bersetuju mengeluarkan satu pernyataan bersama iaitu Joint Statement on Defence Cooperation Against Disease Outbreak mengenai keperluan untuk mempertingkat kerjasama pertahanan ASEAN dalam menghadapi dan mengatasi wabak COVID-19 secara kolektif.

Kehadiran YB Haji Mohamad bin Sabu di ADMM Retreat mempamerkan komitmen Malaysia terhadap ADMM sebagai mekanisme diplomasi pertahanan serantau terulung yang menyumbang ke arah keselamatan, keamanan, dan kestabilan rantau ASEAN. Malaysia bersama-sama dengan negara ASEAN lain mengucapkan tahniah kepada Vietnam atas kejayaan penganjuran mesyuarat ADMM Retreat dan akan turut hadir ke mesyuarat 14th ADMM dan 7th ADMM-Plus pada November 2020.