BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

MUNICH, 16 Februari 2020 - Menteri Pertahanan Malaysia, YB Mohamad bin Sabu telah menghadiri Munich Security Conference (MSC) 2020 yang berlangsung di Munich, Jerman bermula dari 14 hingga 16 Februari 2020.

Sejak penganjurannya lebih lima dekad yang lalu, MSC 2020 telah berkembang menjadi persidangan utama yang membahaskan dasar keselamatan antarabangsa. Persidangan kali ini menyaksikan kehadiran lebih 500 orang delegasi peringkat tinggi dari seluruh dunia termasuk pemimpin negara, menteri-menteri kabinet serta tokoh terkemuka dalam bidang keselamatan.

Persidangan kali ini membincangkan pelbagai isu keselamatan dunia yang semakin membimbangkan termasuk kawalan senjata, cabaran mengekalkan keamanan dan keselamatan di Asia Pasifik, dialog berhubung program peluru berpandu, multilateralisme dan peralihan kuasa besar.

Kehadiran YB Menteri Pertahanan ke MSC 2020 adalah sebahagian daripada Perkongsian Berwibawa yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) di bawah inisiatif diplomasi pertahanan untuk menggalakkan hubungan pertahanan positif melalui platform dua hala dan pelbagai hala dalam menangani isu pertahanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa yang dikongsi oleh Malaysia dan negara lain.

Semasa lawatannya, YB Menteri turut mengambil kesempatan mengadakan pertemuan bersama diaspora Malaysia di Jerman bagi berkongsi intipati KPP yang menggariskan strategi jangka panjang demi mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur.