BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

TAWAU, 3 Februari 2020 - Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu mengiringi Menteri Pertahanan Kedua Brunei Darussalam, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral Datuk Paduka Seri Awang Hasbi Md Yussof mengadakan lawatan kerja ke Tawau, Sabah, bermula 2 hingga 4 Februari 2020.

Program lawatan hari ini membabitkan kunjungan ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) Tawau, penempatan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (TSR) dan Pulau Pandanan, serta tinjauan udara menggunakan helikopter EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke kawasan operasi di Pulau Mataking, Pulau Mantabuan serta Pulau Sibuan.

Malaysia dan Brunei mempunyai jalinan hubungan dua hala sejak sekian lama dan lawatan kerja ini telah memberi peluang kepada kedua-dua Negara untuk memperhalusi hubungan strategik di antara kedua negara. Hubungan dua hala pertahanan antara Malaysia dan Brunei dibentuk secara rasmi melalui Memorandum Persefahaman Kerjasama Pertahanan yang ditandatangani oleh kedua-dua Negara pada 14 Februari 1992.

Turut serta dalam lawatan kerja ini ialah Jeneral Tan Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera Malaysia; Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia; Encik Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Malaysia; dan Leftenan Jeneral Dato’ Suhaimi bin Hj Mohd Zuki, Panglima Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia.