BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

LAHAD DATU 28 Januari 2020– Lebih 10 ribu pengunjung hadir memeriahkan pameran aset tempur dan demonstrasi Tentera Darat Malaysia (TDM) yang telah berlangsung selama 3 hari di Lahad Datu.

Aktiviti yang diadakan bersempena Sambutan Hari Tentera Darat ke-87 ini turut melibatkan pelbagai program bagi mengeratkan hubungan antara tentera dan rakyat.
“Antara aset yang menjadi tumpuan orang ramai adalah helikopter Agusta, kenderaan perisai LIPAN BARA dan GEMPITA serta meriam Artileri 105mm,” kata Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan dikeluarkan pada hari ini.

Selain daripada pameran dan demonstrasi, TDM turut melaksanakan pelbagai aktiviti lain termasuk pengambilan perajurit muda, pendaftaran askar wataniah dan Program Jiwa Murni TD.

“Aktiviti Program Jiwa Murni Tentera Bersama Rakyat seperti gotong royong membersih tanah perkuburan, tadika, membaiki masjid dan gereja serta aktiviti sukan seperti pertandingan bola tampar dan badminton turut dilaksanakan bersama penduduk kampung di sekitar Lahad Datu. 

Pameran tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Daerah Lahad Datu, Persatuan Veteran ATM Cawangan Lahad Datu, Markas ESSCOM, iSuri, e-kasih, Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Konvoi 29 buah pelbagai jenis kenderaan Tentera Darat ini akan meneruskan perjalanan di beberapa persinggahan lagi seperti Bandar Sandakan, Kudat, Kota Belud dan berakhir di Kota Kinabalu.