BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

SUBANG, 23 Jan 2020 –Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melakukan penerbangan ihsan membawa Eila Fariha binti Ramli, 24 tahun yang menghidap Dengue Encephalitis Tro Autoimmune Encephalitis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan.

Pesakit, Eila Fariha yang berasal dari Kelantan telah mendapat rawatan awal di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor. Namun, jenis penyakit yang dihadapi memerlukan pesakit mendapatkan rawatan susulan doktor pakar di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan.

Pesawat CN 235 dari detasmen No 1 Skuadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang berlepas pada jam 6.03 pagi untuk mengambil pesakit di Senai dan telah diterbangkan terus ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada jam 7.50 pagi. Sejurus tiba pada jam 9.25 pagi, pesakit telah dibawa menaiki ambulan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Penerbangan yang mengambil masa lebih kurang 1 jam 35 minit ini diketuai oleh Mej Khairunizam bin Mohamad Kasim TUDM selaku juruterbang bersama pembantu juruterbang, Kapt Mohamad Syahmi bin Mohamad Ali TUDM serta 7 orang anak kapal pesawat. Turut mengiringi pesakit adalah ibu pesakit, Pn Jamilah binti Hosman; Pegawai Perubatan, Dr. Jayapriya A/P Rathakrishnan dan seorang jururawat.