BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

KUALA LUMPUR, 3 Disember 2019 – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Kertas Putih Pertahanan (KPP) bertajuk 'Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur' yang dibentangkan oleh Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu

dalam usaha Kementerian Pertahanan untuk mengamalkan tadbir urus yang lebih terbuka, telus, inklusif dan progresif.

Menurut YB Menteri, KPP bertujuan untuk menggalakkan rakyat dan semua lapisan masyarakat untuk turut sama memikul tanggungjawab pertahanan negara sebagai satu usaha sama nasional. Selain itu, KPP juga bertujuan untuk mengkaji semula persekitaran strategik keselamatan semasa, di samping meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan ATM agar mampu untuk melindungi dan mempertahan negara pada sebilang masa.

KPP merupakan satu dokumen terbuka yang boleh diakses oleh rakyat, adalah dasar baharu pertahanan negara yang menetapkan hala tuju Kerajaan dalam melindungi kepentingan negara dan mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah bagi tempoh 10 tahun iaitu dari 2021 sehingga 2030 yang merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK 13).