BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Subang, 1 Okt 2019 - Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-7 bertempat di Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang petang tadi.

Penghantaran Kumpulan Pertama melibatkan seramai 216 orang yang diketuai oleh Komander MALBATT 850-7, Kol Khairul Anwar bin Soib bersama 50 Pegawai dan 165 anggota lain-lain pangkat termasuk 2 anggota dari ABDB. MALBATT 850-7 akan meneruskan misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL yang ditempatkan di 2 penempatan tetap iaitu Kem Ma'rakah dan Kem Tibnin.

Keseluruhan anggota MALBATT 850-7 berjumlah 850 anggota terdiri dari 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan. MALBATT 850-7 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat melibatkan 4 peringkat penghantaran.

Sementara itu, YB Menteri dalam ucapannya, berkata pemilihan MALBATT menyertai misi pengaman itu adalah satu pengiktirafan serta kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti ATM.

“Pembabitan ATM di peringkat antarabangsa membuktikan Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada negara memerlukan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berharap anggota yang bertugas dapat melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya serta mengekalkan semangat kerjasama supaya pasukan dapat berfungsi dengan efektif.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan serta Pegawai Kanan Awam dan ATM.