BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

KUANTAN, 3 April 2021 - Penubuhan One Stop Centre dan Inisiatif Kaunter Bergerak Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM akan diperkemas bagi memperkasakan sistem perkhidmatan yang menyeluruh, cepat dan tepat bersesuaian dengan kehendak dan keperluan para veteran masa kini.

Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, one stop centre ini berupaya mengurangkan kerenah birokrasi, menjimatkan masa dan kos selain mampu memberikan perkhidmatan yang lebih efisen kepada warga veteran ATM.

Antara perkhidmatan yang akan diberi tumpuan adalah kemudahan urusan persaraan meliputi pembayaran pencen, pemohonan kad veteran, tuntuan bayaran perubatan, faedah kematian dan pencen terbitan.

“Kementerian Pertahanan juga berhasrat untuk mewujudkan mobile one stop centre atau lebih dikenali sebagai kaunter bergerak bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada veteran khususnya yang duduk di luar bandar,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Pahang di Swiss-Bel Hotel, Kuantan, Pahang.

Ketika majlis itu, seramai 350 orang Veteran ATM telah dianugerahkan PJM melibatkan 33 Veteran Kurang Upaya (VKU) dan sembilan orang balu.

Untuk rekod, majlis penganugerahan kali ini adalah yang pertama kali diadakan bagi sesi 2021 selepas kali terakhir diadakan di Sandakan, Sabah pada 25 September 2020 lalu.

Penganugerahan ini adalah satu manifestasi keprihatinan dan rasa tanggungjawab Kementerian dalam menghargai perjuangan, pengorbanan dan jasa-jasa veteran-veteran ATM khususnya di seluruh negara amnya dan negeri Pahang khasnya.

Turut hadir, YBhg Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, Panglima Tentera Darat, YBhg Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain bin Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM serta Pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian dan ATM.