Nasib Pesara Tentera Tanpa Pingat SP dan PGB-Utusan Malaysia
Isnin, 21 Disember 2009 00:00
Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) memaklumkan Skim Bayaran Pampasan Bencana Kerja atau lebih dikenali sebagai Ex – Gratia mula diperkenalkan kepada penjawat awam pada 20 Oktober 1994 melalui Pekeliling Perbendaharaan Bil 13 Tahun 1994. Seterusnya, Perbendaharaan Malaysia telah membuat penambahbaikan ke atas Skim Bayaran Pampasan Bencana Kerja (Ex-Gratia) melalui Pekeliling Perbendaharaan Bil 7 Tahun 2001. Skim ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2001 dan telah dipanjangkan kepada Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Perintah Majlis Angkatan Tentera Bil 9 Tahun 2008 (PMAT 9 / 2008).

Untuk makluman , pesara yang mendapat kecederaan selepas 1 Januari 2001 telah diberi pembayaran oleh JHEV ATM manakala bagi pesara yang cedera bagi tempoh 20 Oktober 1994 hingga 31 Disember 2000 pula pembayaran sedang dalam tindakan JHEV ATM.

Merujuk pada  aduan pengadu ingin dimaklumkan bahawa pembayaran Ex - Gratia kepada pesara yang cedera sebelum 20 Oktober 1994,  tidak diluluskan oleh Perbendaharaan Malaysia. Namun begitu, pihak Kementerian Pertahanan masih berusaha mengemukakan rayuan untuk pertimbangan semula.

Pihak Kementerian memohon jasa baik daripada pihak tuan untuk menyiarkan siaran akhbar ini bagi menerangkan situasi sebenar keadaan ini disamping untuk memperjelaskan kepada para pejuang sekitar tahun 70-an dan 80-an bahawa pengorbanan mereka tidak pernah dilupakan dan Kementerian Pertahanan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk membalas jasa mereka.

Untuk sebarang pertanyaan, mohon kerjasama veteran untuk menghubungi Kapten Salim Bin Ibrahim di talian 03-20508113 / 03-20718119 / 03-20718116.
Terakhir dikemaskini pada Khamis, 05 Januari 2012 15:56