Majlis Pelancaran Plate Kempen Hari Pahlawan Dan Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan, 8 Ogos 2007
Selasa, 26 Jun 2007 11:22

TEKS UCAPAN YAB DATO' SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK, TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PERTAHANAN SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PLATE KEMPEN HARI PAHLAWAN DAN ULANG TAHUN KE-50 KEMERDEKAAN
PADA 8 OGOS 2007

Bismillahirrahmanirahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

1. Alhamdulillah syukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya pada petang ini kita dapat hadir di Majlis Pelancaran Plate memperingati Kempen Hari Pahlawan dan Ulangtahun Ke-50 Kemerdekaan Malaysia.

2. Sesungguhnya pelancaran Kempen Hari Pahlawan pada 31 Julai lalu dan juga di ambang kita akan menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini diharap akan dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik kita terutama dalam usaha mengenang pahlawan negara yang pernah berjasa.

3. Kemerdekaan juga adalah lambang kebebasan, kedaulatan dan kejayaan bukan sahaja kepada negara kita malah bagi setiap insan yang bernaung di bawahnya. Justeru, sebagai rakyat yang berjiwa merdeka kita harus bersedia untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara yang tercinta pada bila-bila masa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Segala kejayaan yang dicapai hari ini hakikatnya bertitik tolak dari usaha gigih dan pengorbanan para pejuang tanah air baik dalam bidang politik mahupun keselamatan.

5. Pemimpin-pemimpin politik telah berperanan penting menerusi perjuangan bermula dengan menentang Malayan Union dan seterusnya untuk menuntut kemerdekaan. Pemimpin politik juga telah memainkan peranan penting untuk memajukan negara dalam segala bidang ke tahap yang membanggakan seperti mana yang dikecapi pada hari ini.

6. Kebijaksaan pemimpin-pemimpin kita juga telah membawa negara kita menjadi sebuah negara yang makmur, sentosa dan aman sehingga membolehkan rakyat pelbagai kaum hidup dengan penuh harmoni.

7. Walaupun kita mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tetapi kita tidak boleh lupa bahawa terdapat ramai perajurit tanah air yang telah sanggup mengorbankan jiwa raga mereka demi kepentingan negara. Para perwira ini telah berjuang di medan pertempuran sejak pemerintahan kolonial, era Peperangan Dunia Ke-2 melawan tentera Jepun dan menentang komunis Bintang 3 di zaman Darurat.

8. Mereka juga tidak pernah gentar apabila tercetusnya Konfrontasi malah para perajurit kita telah tangkas menghunus senjata apabila Parti Komunis Malaya melancarkan semula gerakan bersenjata. Dalam keadaan ini perajurit kita telah menghadapi tentangan musuh dengan penuh kerelaan dan tanggungjawab sekalipun dengan titisan darah dan keringat mengalir demi menegakkan kesucian dan kedaulatan negara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

9. Di atas hakikat inilah, kita sebagai warga negara yang bertanggungjawab dan prihatin sama ada individu atau dalam masyarakat, syarikat-syarikat swasta dan badan-badan korporat terutama yang mencapai kemajuan khususnya di bidang perniagaaan harus menghulurkan sumbangan kepada mereka yang telah banyak berjasa kepada tanah air.

10. Lebih-lebih lagi kepada bekas perajurit yang memerlukan bantuan terutama untuk kebajikan mereka dan keluarga yang hilang tempat bergantung. Walaupun sumbangan yang dihulurkan pada mata kasar tidak setimpal dengan pengorbanan mereka selama ini, tetapi dari segi semangat moral ia merupakan satu simbolik yang menunjukkan bahawa betapa generasi kini yang menikmati hasil dan kemakmuran daripada perjuangan mereka dahulu tetap menghargai segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan. Mereka tahu menilai harga kemerdekaan Ia juga menunjukkan rasa prihatin dan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah banyak berjasa mewujudkan keamanan dan kemakmuran negara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

11. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur di atas usaha gigih mereka melaksanakan projek pelekat Plate Peringatan Kempen Hari Pahlawan dan menyambut Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Malaysia dengan bertujuan mendapat sumbangan bagi mengisi Tabung Kebajikan Yayasan Veteran Tentera dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia.

12. Saya berharap semua pihak dapat tampil untuk memberi sokongan padu terhadap projek ini seperti yang ditunjukkan oleh mereka yang tampil menyumbang pada hari ini.

13. Akhir kata, dengan lafaz 'Bismillahi-Rahmannirrahim' saya dengan sukacitanya melancarkan Plate Memperingati Kempen Hari Pahlawan dan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Tahun 2007.

Sekian