| Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Hari Pekerja Kementerian Pertahanan Pada 24 Mei 2007 |
| Selasa, 26 Jun 2007 11:18 |
|
TEKS UCAPAN YAB DATO' SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK, Bismillahirrahmanirahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera, Yang Berhormat Dato' Haji Zainal Abidin Haji Zin, Y.Bhg. Dato' Sri Haji Ahmad Latffi Hashim, Y.Bhg. Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Abdul Aziz Haji Zainal, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha, Pegawai-pegawai kanan awam dan tentera Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian 1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah rahmat dan keizinan-Nya sekali lagi kita dapat bersama-sama berada di Majlis Sambutan Hari Pekerja dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Kementerian Pertahanan. 2. Pada kali ini saya melihat warga KEMENTAH yang hadir semuanya menunjukkan wajah-wajah yang ceria dan gembira. Saya percaya suasana begini menjadikan sambutan kita lebih bermakna apatah lagi selepas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam pada Isnin lalu antara 7.5 hingga 35 peratus. 3. Yang paling gembira tentunya warga Angkatan Tentera Malaysia apabila kerajaan bersetuju menaikkan gaji antara 9 hingga 42 peratus iaitu kadar kenaikan paling tinggi di samping kenaikan Kadar Bantuan Sara Hidup (COLAR) sebanyak 100 peratus. Tuan-tuan dan puan-puan, 4. Sesungguhnya Hari Pekerja merupakan tanda keprihatinan kementerian terhadap pekerja yang telah menyumbang tenaga dan fikiran untuk pembangunan negara. Bagi KEMENTAH, saya berbangga dengan pencapaian kita ketika ini. Ini adalah hasil kerjasama dan kesungguhan yang diberikan oleh pekerja dan pihak atasan sama ada anggota tentera mahupun awam. 5. Hari Pekerja bukanlah semata-mata untuk dirayakan. Sebaliknya Hari Pekerja juga adalah masa kita merenung akan cabaran yang dihadapi pada zaman global dan glokal ini. Dengan itu saya menyeru semua warga KEMENTAH supaya lebih berdisiplin dan beretika dalam melaksanakan kerja bagi membolehkan peningkatan dalam produktiviti di samping menjaga kualiti. 6. Tema sambutan hari pekerja Kementerian Pertahanan pada kali ini ialah 'pekerja produktif negara kompetitif' adalah amat bertepatan dengan usaha-usaha yang sedang digerakkan oleh kerajaan dalam membentuk kecemerlangan dan kegemilangan negara melalui dasar-dasar sedia ada dan pendekatan baru yang diperkenalkan dari semasa ke semasa. Pembelajaran sepanjang hayat harus menjadi sebahagian daripada matlamat hidup pekerja agar mempunyai pelbagai kemahiran atau multiple skills supaya dapat menyesuaikan diri dengan kaedah atau persekitaran baru. Selain itu, pekerja juga perlu sentiasa menambah nilai atau value add pada dirinya agar dapat bertindak dengan lebih inovatif dan produktif. Tuan-tuan dan puan-puan, 7. Semangat kerjasama di antara kakitangan awam dan tentera iaitu darat, laut dan udara telah lama terjalin. Dengan persefahaman dan tanggungjawab bersama yang wujud, kementerian ini telah mencapai kecemerlangan dan dilihat oleh negara-negara luar sebagai negara yang sentiasa proaktif dan dalam beberapa aspek menjadi contoh khususnya dalam usaha-usaha menyumbang kepada keamanan dunia. 8. Adalah menjadi kepentingan negara untuk memastikan keamanan negara dan dunia terpelihara. Pada tahun lalu kita berbangga apabila negara kita terpilih untuk menjadi pasukan pengaman PBB di Lubnan. Penglibatan kementerian di peringkat global ini bukan sahaja bermula baru-baru ini tetapi telah pun dilakar dalam sejarah semenjak tahun 60-an lagi semasa pemimpin-pemimpin terdahulu menerajui negara ini. 9. Saya tidak pernah sama sekali berasa jemu mengingatkan diri kita bahawa kita perlu sentiasa peka terhadap dunia persejagatan yang berubah pesat. Perubahan ini bukan sahaja dari segi teknologi malah dalam masyarakat kita sendiri menyaksikan perubahan dalam isu kemasyarakatan, sosio ekonomi dan politik. Kita perlu sentiasa bersedia melengkapkan diri kita, berupaya untuk bertindak cepat dan berkeupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa. 10. Kejayaan sesebuah negara sebenarnya banyak bergantung pada kualiti sumber manusia. Ini dapat dilihat dari negara yang kekurangan sumber semula jadi, berjaya menjadi negara pengeluar kepada produk berkualiti tinggi. Sebaliknya banyak pula negara yang kaya dengan sumber semulajadi tetapi masih dibelenggu kemiskinan. Perbezaan antara keduanya adalah kerana sumber manusia merupakan penjana, penghubung, penggerak, pelaksana dan penyelaras kepada sumber-sumber lain yang ada dalam organisasi. 11. Segala kecanggihan teknologi, sistem, dan struktur organisasi belum tentu dapat menjamin kejayaan sesuatu organisasi jika sumber manusia organisasi tidak memiliki ilmu yang mampu bersaing melalui kepakaran yang dikemaskini dan sikap yang positif terhadap kerja. Penguasaan ilmu pengetahuan yang juga merupakan salah satu prinsip utama Islam Hadhari adalah selari dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian untuk menjadi sebuah organisasi pembelajaran atau learning organisation. Tuan-tuan dan puan-puan, 12. Sebagai sebuah negara yang sedang berkembang maju dan telah menetapkan sasarannya untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020, kejayaannya sangat bergantung kepada kita semua. Kita perlu sentiasa bersedia untuk bersaing. Untuk sentiasa berada di hadapan, kita hendaklah mendapat kepercayaan yang sepenuhnya daripada pihak yang sentiasa berurusan dengan kita. Salah satu cara yang jelas dan diterima umum pada hari ini untuk menunjukkan bahawa sesebuah organisasi itu sentiasa mementingkan mutu bagi meningkatkan kepercayaan pelanggan, adalah melalui pengiktirafan pensijilan MS ISO 9001:2000. Ini merupakan salah satu tanda aras yang menunjukkan kualiti perkhidmatan sesebuah organisasi itu diiktiraf pada tahap yang terbaik. 13. Kerajaan sentiasa menekankan bahawa kualiti adalah sangat penting dalam apa juga tindakan yang dilakukan. Dalam sektor perkhidmatan awam, sejak dahulu hingga sekarang, kita tidak akan bertolak ansur dengan kualiti yang diberikan kepada pelanggan kita. Usaha-usaha sentiasa dijalankan untuk memastikan bahawa perkhidmatan kita adalah yang terbaik. 14. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada menyatakan bahawa kerajaan amat menekankan kepada prestasi sumber manusia yang cemerlang untuk menghasilkan produk berkualiti. Bagi mencapai hasrat tersebut, sistem pengurusan dalam perkhidmatan awam perlu ditingkatkan bagi mengurangkan karenah birokrasi yang boleh melambatkan sesuatu proses. 15. Kerajaan juga memberi perhatian kepada keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan (delivery system). Saya percaya pihak kementerian telah pun mengambil tindakan sewajarnya bagi menentukan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan adalah baik dan menepati kehendak pelanggan. Saya difahamkan bahawa prosedur dan peraturan yang sedang diguna pakai dalam proses kerja kementerian ini telah, sedang dan akan dikaji semula mengikut keperluan supaya lebih kemas dan mudah. Semua tindakan tersebut adalah menjurus kepada hasrat untuk menjadikan kementerian ini sebuah organisasi yang akhirnya mencapai taraf 5 bintang. Tuan-tuan dan puan-puan, 16. Persaingan dalam era teknologi maklumat dan pasaran global, menjadikan cabaran yang akan kita hadapi menjadi lebih hebat. Hanya yang terbaik akan terus kekal dan relevan pada masa kini dan akan datang. Individu atau organisasi yang tidak berusaha untuk berubah dan cuba untuk memperbaiki perkhidmatannya selaras dengan peredaran masa akan ketinggalan dan tercicir. Banyak contoh-contoh yang sering kita baca dan dengar mengenai syarikat-syarikat yang besar dan tersohor sebelum ini, telah hilang dari ingatan kita kerana mereka tidak cuba untuk berubah dan memenuhi kehendak semasa. 17. Dalam usaha untuk terus kekal bersaing dan terus kekal relevan pada setiap masa, perubahan tidak dapat dielakkan. Hari ini kita lihat bagaimana setiap organisasi melakukan pelbagai usaha untuk berada di barisan hadapan dalam bidang kepakaran dan kekuatan masing-masing. Organisasi perlu diurus secara cekap. Pengurusan organisasi tanpa perancangan strategi yang bijak tidak akan bertahan lama. 18. Sebagai persediaan menghadapi cabaran globalisasi, organisasi perlu mengetahui kedudukan terkini mereka berbanding dengan organisasi lain. Mereka perlu menganalisis kedudukan mereka terutama dengan mengambil kira kekuatan dan kelemahan yang ada. Sesebuah organisasi itu juga perlu melakukan penanda aras (benchmarking) terhadap pencapaian mereka dengan organisasi lain yang telah berjaya, dan bukan hanya membandingkan pencapaian mereka berdasarkan prestasi mereka yang lepas. Tuan-tuan dan puan-puan, 19. Dunia semakin hari semakin kecil dari segi persempadanan akibat daripada perkembangan teknologi yang pesat dan drastik. Pengaliran maklumat yang mudah dan cepat serta penciptaan kaedah yang canggih setiap hari memerlukan usaha yang berterusan dan meningkatkan kesedaran pengunaan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara yang optimum. Seperti kata Bill Gates:the first rule of any technology used in a business is that automation applied to an efficient operation will magnify the efficiency. The second is that automation applied to an inefficient operation will magnify the inefficiency. 20. Penambahbaikan kepada sistem sedia ada seperti penerokaan yang berterusan terhadap teknologi baru perlu diberi penekanan yang sewajarnya. Ini adalah kerana ekspektasi pelanggan semakin meningkat, selari dengan kepesatan perkembangan teknologi semasa. 21. Oleh itu, kita harus berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam menggunakan aplikasi teknologi secara yang optimum dan bersesuaian dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Latihan yang terancang dan sistematik harus dilaksanakan bagi melahirkan warga kementerian yang berbudaya IT. Tuan-tuan dan puan-puan, 22. Majlis anugerah ini mempunyai pengertian yang amat bermakna kepada kita semua, terutamanya bagi mereka yang berjaya menerima anugerah perkhidmatan cemerlang Kementerian Pertahanan pada pagi ini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada para pemenang kerana telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang saya percaya boleh menjadi contoh kepada semua warga yang lain. Harapan saya agar kecermerlangan ini akan terus menjadi pendorong untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa-masa akan datang. Kita harus sedar bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukanlah bergantung kepada kecemerlangan prestasi segelintir kakitangan sahaja tetapi memerlukan penyertaan dan sokongan padu keseluruhan anggotanya. 23. Di samping itu, dalam keadaan ekonomi yang pesat berubah ia juga amat bergantung kepada sejauh mana keupayaan anggota-anggotanya bertindak balas terhadap perubahan-perubahan yang berlaku serta bersedia menerima perubahan-perubahan tersebut. 24. Akhir sekali saya ingin menyeru semua warga KEMENTAH supaya berusaha memberikan sumbangan maksimum potensi masing-masing. Ingin saya tegaskan bahawa kita semua mempunyai peranan penting di peringkat masing-masing bagi memastikan kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan kepada kita dilaksanakan secara tepat, cepat dan berkualiti. Segala usaha hendaklah ke arah pencapaian visi, misi dan objektif Kementerian Pertahanan. Sekian, terima kasih. |






