Kecewa Cara Pemilihan Rekrut TLDM
Friday, 30 October 2009 10:51
Malay Version Only

MAKLUMBALAS ADUAN AKHBAR BERTAJUK “KECEWA CARA PEMILIHAN REKRUT TLDM” TERBITAN BERITA HARIAN PADA 6 OGOS 2009

Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan ingin mengambil kesempatan untuk memperjelaskan situasi sebenar mengenai aduan bertajuk “Kecewa Cara Pemilihan Rekrut TLDM” oleh “Bapa Bengang” yang disiarkan dalam Berita Harian pada 6 Ogos 2009.

Untuk makluman , pemilihan Perajurit Muda TLDM telah dilaksanakan pada 9 hingga 22 Julai 2009 dan dibahagikan kepada dua sesi iaitu pemilihan di peringkat awal dan akhir. TLDM telah menggariskan syarat-syarat dan kriteria yang tertentu bagi setiap calon yang hadir pada setiap peringkat pemilihan berpandukan kepada Perintah Majlis Angkatan Tentera dan syarat-syarat keperluan semasa perkhidmatan sebagai asas tapisan sebelum dipilih untuk menjalani latihan Perajurit Muda selama 6 bulan.

Oleh yang demikian perlaksanaan pemilihan ini menitikberatkan kepada beberapa faktor utama iaitu pencapaian akademik , pengetahuan, penampilan diri, kecergasan dan bentuk fizikal yang bersesuaian dan bertepatan sebagai anggota TLDM selaras dengan kehendak dan bidang tugas yang semakin mencabar masa kini.

Calon-calon yang gagal dan tidak menepati ujian di dalam proses pemilihan ini, secara berperingkat akan disingkirkan daripada mengikuti proses pemilihan seterusnya. Penilaian terhadap calon-calon yang melepasi semua peringkat ujian akan dilakukan melalui Lembaga Temuduga Akhir dan hanya calon yang layak dan menepati syarat serta kriteria Perajurit Muda TLDM sahaja akan terpilih menjalani latihan di KD SULTAN ISMAIL.

Pihak TLDM ingin menyangkal dakwaan “Bapa Bengang” yang menyatakan bahawa pemilihan ini telah menghabiskan wang kerajaan adalah tidak tepat kerana TLDM perlu menepati kriteria dalam memilih Perajurit Muda agar berupaya mengendali aset-aset canggih yang dimilki oleh TLDM masa kini. Dalam perkembangan teknologi ketenteraan, TLDM amat memerlukan warga yang berkualiti dan intelligent supaya pelaburan dalam pembelian aset perang yang canggih ini mendapat pulangan yang sewajarnya.

TLDM amat dukacita dengan apa yang diutarakan penulis kerana ianya tidak tepat dan bercanggah dengan konsep dan tatacara proses pemilihan yang dilakukan. Peluang kemasukan secara terbuka ke dalam perkhidmatan TLDM yang diberikan kepada semua belia dan beliawanis tanpa mengira bangsa dan agama tidak kira dari kawasan pedalaman ataupun bandar adalah bersifat adil dan sama rata. Pemahaman seumpama ini harus dielakkan bagi memastikan minat dan semangat belia dan beliawanis untuk menyertai perkhidmatan TLDM amnya dan ATM khasnya tidak berkubur begitu sahaja. TLDM amat mengalu-alukan kemasukan belia dan beliawanis untuk menyertai perkhidmatan ini sesuai dengan peluang kerjaya yang disediakan menjamin masa depan sekaligus dapat menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Kepten Wah Yuen Mei TLDM dari Markas Tentera Laut di talian 03-20713224.

Last Updated on Thursday, 05 January 2012 15:54